Thursday, June 12, 2008

Utusan=15 Jun 2007=Baiki mutu kesihatan -- Negara-negara OIC perlu tingkat kerjasama

Baiki mutu kesihatan -- Negara-negara OIC perlu tingkat kerjasama – Abdullah
Oleh Fauzi Jaafar dan Nurul Anuar Kari


PETALING JAYA 14 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam
(OIC) meningkatkan kerjasama memperbaiki mutu kesihatan awam di negara-negara Islam yang kini jauh ketinggalan.
Perdana Menteri berkata, walaupun sudah ada inisiatif untuk meningkatkan kualiti kesihatan melalui pembiayaan oleh Bank Pembangunan Islam (IDB), namun kadar kematian di negara-negara Islam yang miskin masih tinggi ekoran kemudahan kesihatan yang rendah.
Sehubungan itu, katanya, kerjasama kesihatan awam perlu diperluaskan dan tidak sepatutnya terhad kepada satu-satu isu sahaja.
Menurutnya, selain kerjasama penghasilan dan pengeluaran vaksin halal yang telah dimulakan, banyak lagi bidang lain yang perlu diberi perhatian.
Antaranya ialah selesema semasa musim haji, pembasmian polio global, malaria, HIV/AIDS, biokeselamatan, kemunculan penyakit berjangkit dan peraturan kesihatan antarabangsa.
Abdullah berkata demikian dalam ucaptama bertajuk Kesihatan: Dorongan Ke Arah Perpaduan Islam pada Persidangan Kementerian Kesihatan OIC-KL 2007 di sini, hari ini.
Menurutnya, IDB juga menggerakkan program dalam mengeluarkan vaksin bagi memastikan negara-negara Islam memperoleh vaksin dengan harga yang berpatutan, selamat dan berkesan.
Abdullah yang juga Pengerusi OIC berkata, satu daripada bidang yang boleh ditingkatkan kerjasama ialah dalam penghasilan dan pengeluaran vaksin di kalangan negara anggota OIC.
Dalam konteks ini, beliau memberitahu, Malaysia telah memulakan langkah dengan menubuhkan Institut Kebangsaan Produk Asli, Vaksin dan Biologikal (9BIO) sebagai agensi yang menggalakkan kemampuan diri dalam pengeluaran vaksin
halal.
“Buat masa ini, 9BIO sedang bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menuju pengeluaran
vaksin halal.
“Kita percaya pembangunan vaksin halal akan menjadi titik permulaan bagi mempromosikan kesihatan awam di negaranegara Islam,” katanya.
Perdana Menteri berkata, dengan adanya vaksin halal yang melambangkan kualiti, suci dan selamat, ia akan melenyapkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam mengenai pencemaran dan kesan vaksin yang tidak halal. Beliau juga turut mendedahkan betapa ketinggalannya negara-negara Islam dalam pelbagai bidang, antaranya mutu
kesihatan awam yang kini menjadi satu keperluan yang mendesak dan bertambah kritikal.
‘‘Fakta yang perlu diterima ialah bahawa bayi dan kanak-kanak yang hidup di negara Islam menghadapi risiko paling tinggi dijangkiti penyakit berjangkit,’’ katanya.
Abdullah berkata, menurut Laporan Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2004, tujuh daripada 10 negara dengan kadar kematian bayi paling tinggi ialah anggota OIC.
Apa yang menyedihkan, jelasnya, ialah negara-negara Islam juga menjadi pendahulu dengan kadar kematian di bawah umur lima tahun melebihi 200 kematian bagi setiap 1,000 kanak-kanak.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek; Setiausaha Agung OIC, Prof. Dr. Ekmeleddin Ihsanoglu dan Pengarah Serantau IDB, Ahmed Saleh Hariri.

No comments: