Jawapan 'basi' tak selesai masalah
SEBAGAI doktor kerajaan, saya mengucapkan terima kasih di atas jawapan diberikan Pengarah Kesihatan Pahang, kelmarin kepada surat 'Doktor dedikasi tuntut keadilan' 2 Jun lalu. Bagaimanapun, saya kecewa kerana jawapan itu sepatutnya diberikan pihak di ibu pejabat Kementerian Kesihatan, terutama Bahagian Sumber Manusia. Persoalan yang ditimbulkan itu bukan isu tempatan tetapi membabitkan ramai pegawai perubatan seluruh negara. Malah, pada 5 Jun, seorang pembaca, ‘Dr Rosmah’ juga menimbulkan isu sama dalam ruangan ini. Lebih malang kerana Pengarah Kesihatan Pahang memberikan jawapan ‘basi’ yang diperoleh daripada Sumber Manusia contohnya, ‘bukan bidang kuasa dan sedang dalam proses mengemas kini’. Adakah pihak atasan tidak sedar jawapan itu sudah dikemukakan sejak lebih daripada dua tahun lalu dan sehingga kini tiada apa berlaku. Akal waras pasti akan mentafsirkan sesuatu tidak kena sedang berlaku. Siapa sebenarnya tidak mengamalkan budaya korporat kementerian, iaitu penyayang, kerja berpasukan dan profesionalisme.
Mereka perlu menyedari siapakah pelanggan dan bagaimana perlu dilayan? Ironinya, pegawai bertanggungjawab dalam isu itu dapat menikmati kenaikan pangkat tanpa bersusah payah walaupun boleh dianggap sebagai anak oleh doktor senior berkenaan. Sedarlah, setiap tanggungjawab tidak dilaksana itu akan dipersoalkan suatu hari nanti, lebih-lebih lagi jika ia menyusahkan orang ramai. Saya mengalu-alukan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, baru-baru ini mengenai ganjaran lebih baik untuk doktor tetapi berharap pelaksanaan dibuat secara teliti, seterusnya menghasilkan keputusan saksama dan menguntungkan semua pihak. Kenyataan menteri bahawa ‘pegawai perubatan yang dilantik sebelum 2008 juga tidak dilupakan’ adalah tanda positif.
Senior memang layak diberikan gred lebih baik, bukan sekadar gred UD44 kerana mereka terlalu lama sabar dan setia menanti. Jika penambahbaikan ini tidak dilaksanakan dengan teliti, pegawai perubatan yang berkhidmat lebih 10 tahun hanya setaraf mereka yang baru lulus ijazah perubatan.
DR SENIOR SETIA,Shah Alam, Selangor.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment