Friday, May 8, 2009

Tidak senyum kerana keletihan=Utusan Malaysia=01/05/2009

Tidak senyum kerana keletihan

DEWASA ini hangat diperkatakan mengenai mutu perkhidmatan kesihatan di klinik-klinik dan hospital-hospital kerajaan. Ada sesetengah warga Malaysia kini memandang negatif perkhidmatan kesihatan kerajaan apabila mereka gagal untuk mendapatkan layanan serta perkhidmatan seperti yang diharapkan.
Bilangan doktor di Malaysia dan kakitangan perawatan yang lain masih tidak mencukupi dan sangat kritikal di daerah tertentu. Nisbah doktor pada 2007 adalah seorang doktor bagi 1,145 penduduk. Bilangan doktor yang ditugaskan di klinik-klinik kesihatan dan hospital-hospital daerah masih belum mencukupi. Sebagai contoh, doktor di hospital daerah bertanggungjawab untuk merawat pesakit di dalam wad, merawat pesakit di klinik dan melaksanakan tugasan on-call mengikut giliran.
Selepas menamatkan tugasan on-call doktor tersebut akan terus menyambung tugasan sama ada di wad atau terus ke klinik pesakit luar sehinggalah tamat waktu pejabat hari tersebut. Adalah tidak adil untuk mengatakan seseorang doktor itu kurang mesra pesakit sekiranya beliau kurang senyum dan beramah mesra pada hari tersebut. Mereka keletihan setelah bekerja secara berterusan lebih daripada 24 jam.
Kakitangan kesihatan yang lain juga harus ditambah bagi membantu doktor melaksanakan perawatan. Sebagai contoh, para jururawat terlatih seharusnya dapat melakukan pemeriksaan ultrasound rutin kepada ibu-ibu yang mengandung. Ini pasti dapat mengurangkan waktu menunggu pesakit dan membolehkan doktor menumpukan aspek perawatan dan kaunseling pesakit. Mereka juga hendaklah dilatih dengan panduan terkini semasa menyaring pesakit yang datang agar kes-kes kecemasan dapat diberikan keutamaan sewajarnya.
Pesakit juga hendaklah mematuhi waktu temu janji kerana setiap pesakit biasanya akan dilihat oleh doktor untuk lima hingga 15 minit mengikut keperluan. Cubalah menjadi seorang pesakit yang beretika dan berhemah tinggi kerana para doktor dan perawat kesihatan yang lain sentiasa bersedia memberikan khidmat yang terbaik untuk anda.

WARISAN 27643
Kota Bharu, Kelantan

Luahan rasa doktor yang penat=Utusan Malaysia=01/05/2009

Luahan rasa doktor yang penat

SAYA merupakan salah seorang pegawai perubatan di salah sebuah hospital di ibu negara. Buat pengetahuan umum, malam semalam saya pulang ke rumah pukul 9 malam setelah keluar bertugas mulai pukul 7 pagi pada hari sebelumnya. Saya pulang setelah habis menjalankan tugas on-call. Cuba bayangkan bekerja selama 36 jam tanpa henti. Mungkin dapat tidur sejam dua (lebih baik tidak tidur langsung). Pulang ke rumah dengan harapan dapat bermesra dengan anak dan isteri, tetapi ternyata saya terlalu penat.
Biar saya jelaskan bagaimana tugas seorang doktor secara kasarnya. Kami akan memulakan kerja seawal pukul tujuh pagi dengan berada di wad bagi menyiapkan data pesakit di wad bagi tujuan ward round bersama doktor pakar. Secara amnya, ward round akan tamat sekitar pukul 10 hingga 11 pagi. Ini mengambil kira purata 30 orang pesakit di dalam wad.
Selepas itu, kami mesti bergegas ke klinik untuk merawat pesakit luar. Ini menjawab rungutan pembaca yang mempertikaikan mengapa mereka perlu tunggu lama di klinik pesakit luar. Secara purata kami memeriksa dalam 100 - 200 pesakit luar setiap hari. Secara puratanya juga akan terdapat lima hingga tujuh orang doktor di klinik. Jadi seorang doktor akan memeriksa antara 20 hingga 30 orang pesakit.
Harus diingat kami mesti kembali ke wad selepas itu untuk melihat perkembangan pesakit yang lebih tenat di dalam wad. Maka secara kebiasaannya kami akan tamat merawat pesakit dalam pukul 6 hingga 7 petang. Tugas itu disambung oleh doktor on call. Maka andainya saya merupakan doktor on call (yang perlu menjaga seluruh hospital, bukan sekadar wadnya) pada hari tersebut, saya akan menyambung tugas saya dari pukul 7 malam itu hingga 7 malam keesokan harinya di wad dan klinik seperti biasa.
Maka, wahai pesakit hospital kerajaan Malaysia, renungkan dan fikirkanlah. Seandainya anda ternampak kami berbual, makan atau membaca surat khabar, sebenarnya kami hanya ingin 'mencuri' sesaat dalam 36 jam itu untuk merasai kehidupan manusia biasa.

DOKTOR HOSPITAL KERAJAAN
Kuala Lumpur

Doktor cuma 'berdiam' bila rakyat kritik khidmat mereka=Utusan Malaysia=02/05/2009

Doktor cuma 'berdiam' bila rakyat kritik khidmat mereka

Oleh AZMAN ANUARrencana@utusan.com.my

PENDEDAHAN berhubung isu penemuan dua doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) 'mencuri tulang' oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan sedangkan lebih 20 orang pesakit masih menunggu dalam kesakitan - memang menghangat.
Susulannya, pelbagai pihak lain turut mendedahkan versi pengalaman dengan doktor di hospital kerajaan. Semua doktor hospital kerajaan telah dicemuh oleh masyarakat.
Tetapi akhirnya lain pula cerita sebenarnya. Dua doktor yang dituduh curi tulang itu sebenarnya doktor pelatih yang baru habis bertugas sejak hari sebelumnya. Bilangan pesakit yang menunggu hanya lapan orang (selebihnya ahli keluarga yang menunggu).
Inilah bahana apabila membuat tuduhan tanpa usul periksa. Tidak rasa sedih dan terhinakah doktor dituduh sedemikian. Sedangkan kita tahu mereka bertugas dengan dedikasi, merawat pesakit berbilang kaum tanpa jemu, bekerja siang mahupun malam tanpa hirau penat dan lesu - tiba-tiba dituduh secara melulu sedemikian!
Jika ada pun doktor yang bersikap 'curi tulang' jangan dibuat andaian semua doktor begitu. Tempias nama buruk terpalit kepada institusi hospital kerajaan.
Pada hakikatnya ramai doktor masih bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.
Sebagai rakyat Malaysia, mungkin kita pernah menjadi pesakit di hospital mahupun di klinik-klinik kerajaan.
Soal menunggu lama adalah lumrah kerana kita maklum jumlah pesakit yang ramai. Cuma sikap sewaktu memeriksa pesakit perlu dilakukan dengan penuh dedikasi - bukan menunjukkan reaksi kurang selesa dan kurang berminat untuk merawat pesakit.
Pun begitu, kita percaya masih ramai doktor yang komited dengan tugas mereka. Mungkin hanya satu dua orang sahaja yang tidak beretika dan sanggup mencalitkan lumpur kepada nama baik hospital.
Doktor dan pembantunya, jururawat telah diberi kursus dalam membentuk etika yang baik sewaktu bertugas. Mereka tahu cara untuk berhadapan dengan jumlah pesakit yang terlalu ramai termasuk melayan pelbagai kerenah pesakit.
Petugas di hospital kerajaan harus memberi layanan terbaik kepada setiap orang tanpa mengira status dan kedudukan. Jangan kerana pesakit terdiri dari golongan kurang mampu dan ditempatkan di kelas kedua atau ketiga, mereka dilayan bagai orang yang tiada perasaan - diherdik dan ditengking sesuka hati.
Profesion doktor cukup mulia. Tetapi naluri manusia sentiasa mahu dilayan dengan cepat dan tidak sabar jika terpaksa menunggu lama.
Perkara ini dilalui oleh para doktor. Bilangan doktor tidak pernah bertambah. Seorang rakan yang memilih bidang ini pernah meluahkan 'tidak ada masa yang cukup' untuk mereka.
Ada masa mereka terlepas waktu makan tengah hari. Kalau mahu ke tandas pun perlu bergilir-gilir. Perkara-perkara seumpama itu adalah biasa bagi seseorang doktor.
Namun, kita belum lagi mendengar doktor menjerit marah kerana kepenatan. Belum pernah kita lihat mereka memberontak dan mogok tidak mahu merawat pesakit.
Kita pun tidak pernah melihat para doktor berpiket menuntut hak mereka. Tak dengar oun mereka meminta dihargai. Sebaliknya mereka terus bekerja penuh dedikasi siang dan malam tanpa jemu merawat pesakit.
Sebenarnya tidak ramai antara kita sedar bahawa waktu bila doktor bekerja. Mereka memulakan tugas sebelum pukul 8 pagi, dan jika on call kena bertugas hingga 36 jam.
Banyak masa mereka korbankan untuk pesakit daripada bersama di sisi ahli keluarga, ibu bapa dan anak-anak.
Mereka tidak pernah merungut tentang gaji. Tidak ada siapa antara kita yang serius memikirkan soal menjaga kebajikan doktor.
Sekarang, amat jarang pesakit atau waris pesakit yang mengucapkan 'terima kasih' kepada doktor. Sebaliknya ada pesakit yang berani menghentak fail ke atas kepala doktor semata-mata kerana tidak diberi cuti sakit.
Tetapi doktor hanya diam, senyum dan meneruskan kerja. Bukanlah bermakna mereka tiada perasaan. Sebaliknya mereka dididik dan dipesan untuk bersabar dengan semua kerenah pesakit.
Jangan kerana desakan sesetengah pihak berkepentingan tertentu, mereka ini dijadikan mangsa dan bekerja dalam tekanan. Kelak ia hanya mendatangkan masalah kepada diri doktor, keluarga dan pesakitnya.
Mulai hari ini dan mengambil semangat baru sempena Hari Pekerja semalam, eloklah kita ringankan mulut untuk mengucapkan terima kasih kepada setiap doktor yang merawat kita.

Tawar insentif tarik doktor kita berkhidmat di negara sendiri=Utusan Malaysia=03/05/2009

Tawar insentif tarik doktor kita berkhidmat di negara sendiri

KOTA KINABALU 2 Mei – Kerajaan akan menawar insentif kepada golongan pakar dan doktor dari negara ini yang bekerja di luar negara dalam usaha memujuk mereka pulang dan berkhidmat di tanah air sendiri.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, insentif itu adalah wajar kerana negara masih lagi berdepan dengan masalah kekurangan pakar dan doktor.
“Bagi mengatasi kekurangan doktor, pengambilan tenaga pakar dari luar negara seperti India, Myanmar dan lain-lain negara terus lagi dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan seramai 236 lulusan bidang perubatan yang menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian di luar negara.
Tenaga profesional itu sebaliknya berkhidmat di luar negara berikutan tawaran gajinya yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.
Keadaan itu menjejaskan perkhidmatan kesihatan negara sedangkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk melatih doktor di luar negara iaitu hampir RM1 juta bagi setiap seorang doktor.
Rosnah berkata, golongan tersebut seharusnya mengutamakan keperluan rakyat di negara ini daripada berkhidmat untuk rakyat di luar negara.
Mengenai perkembangan influenza A (H1N1) yang kini menjadi fenomena sejagat, beliau berkata, kerajaan Malaysia melakukan pelbagai langkah pencegahan awal.
Antaranya kata beliau, dengan mengawal ketat di semua pintu-pintu masuk utama negara melalui alat-alat pengesan yang berteknologi tinggi.
“Rakyat tidak perlu bimbang dengan selesema babi atau sekarang dikenali sebagai influenza A (H1N1) kerana persiapan rapi sudah pun dilakukan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Artis dijulang, doktor dan guru pula dicemuh=Utusan=06/05/2009

Artis dijulang, doktor dan guru pula dicemuh

ANUGERAH Industri Muzik (AIM) kali ke-16 baru sahaja melabuhkan sauhnya. Artis-artis yang ditabalkan sebagai pemenang dalam kategori masing-masing pulang dengan hadiah-hadiah lumayan yang ditawarkan oleh pihak penganjur. Pengiktirafan demi pengiktirafan dihamparkan kepada golongan artis atas jasa menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira tua mahu pun muda.
Malah artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, penyanyi nombor satu negara telah meraih sebanyak lebih daripada 150 anugerah seni dalam dan luar negara hasil daripada nyanyiannya yang berjaya menghibur para pendengar.
Terbaru, Tomok pula dianugerahkan dengan ganjaran RM1 juta kerana memenangi pertandingan One In A Million.
Meet Uncle Hussain juga tidak kurang hebatnya apabila telah mengungguli tiga anugerah hiburan berprestij tahun ini iaitu Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23, Anugerah Bintang Popular dan AIM ke-16.
Di sudut yang lain, doktor yang bergadai nyawa siang dan malam menyelamatkan nyawa ribuan manusia jarang diberi penghormatan sebesar itu, malah sering dipersalahkan atas kelemahan dan kecuaian yang berlaku.
Mungkin tidak ramai yang prihatin apabila para doktor dan jururawat sentiasa berada di barisan hadapan setiap kali negara dilanda wabak penyakit yang merungsingkan semua.
Lihat sahaja ketika ini, di saat seluruh dunia bimbang akan penyebaran virus influenza A (H1N1), para doktor berkorban nyawa, menanggung risiko kemungkinan dijangkiti wabak itu, apabila mereka dipertanggungjawabkan dengan tugas memeriksa setiap pelawat yang tiba di pintu masuk utama negara.
Mereka dikerah bertugas siang dan malam semata-mata bagi mengawal penyebaran wabak ini kepada rakyat Malaysia.
Perkara serupa juga berlaku ketika negara diserang virus JE dan virus Nipah. Para doktor dan jururawat jugalah yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia, sehingga ada di kalangan mereka yang turut dijangkiti virus itu.
Selayaknya para doktor dan jururawat diberi penghormatan yang sebesar-besarnya atas jasa bakti menyelamatkan seluruh warga negara Malaysia tanpa mengira kaum dan ikutan agama daripada dijangkiti penyakit berbahaya ini.
Kecuaian yang mungkin dilakukan oleh sesetengah pengamal perubatan tidak wajar dijadikan alasan untuk memperlekehkan mereka, sehingga seolah-olah segala jasa bakti kepada negara dilupakan begitu sahaja.
Sebagai manusia biasa yang tidak maksum, semua perlu sedar bahawa kekurangan dan kealpaan merupakan sifat semula jadi manusia. Malah yang afdal, segala kelemahan dan kecuaian yang berlaku diganti dengan usaha-usaha penambah baikkan untuk manfaat bersama.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ''Semua anak Adam melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat, berhenti daripada melakukan kesalahan itu.''
Golongan guru juga sering menerima nasib yang sama. Setiap kali pelajar dihukum kerana kenakalan anak-anak, mereka dihujani dengan pelbagai tohmahan dan kata-kata nista. Masyarakat kelihatan alpa dengan cabaran dunia pendidikan masa kini yang jauh berbeza daripada zaman lalu.
Sering kali dilaporkan berita murid membelasah guru dan tidak kurang juga terdapat laporan-laporan yang melibatkan salah laku guru. Semua ini berlaku kerana faktor persekitaran yang turut menyumbang kepada masalah yang berlaku.
Oleh itu, ungkapan guru umpama lilin, membakar diri untuk kebahagiaan orang lain selayaknya dihayati dengan rasa tanggungjawab bersama. Ini kerana tugas memberi pendidikan tidak hanya terbatas kepada guru di sekolah sepenuhnya.
Ibu bapa juga wajar memainkan peranan sebagai pendidik kepada anak ketika mereka di rumah. Malah jika diteliti, mereka lebih lama berada di rumah berbanding di sekolah yang hanya memakan masa lebih kurang tujuh hingga lapan jam sahaja sehari.
Ibu bapa juga disaran menjadi contoh teladan terbaik kepada anak-anak dengan sentiasa melakukan ketaatan dan kebajikan.
Amalan solat berjemaah bersama seluruh ahli keluarga selain dapat merapatkan hubungan dengan Allah SWT juga mampu menjadi mekanisme terbaik kepada pendidikan anak-anak.
Tulisan ini tidak bermaksud untuk menyatakan isu betul dan salah, sebaliknya marilah kita seluruh warga negara atas prinsip One Malaysia, bersama berganding bahu memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang berlaku.
Amalan menuding jari menyalahkan orang lain tidak akan memberi apa-apa kebaikan untuk kejayaan bersama. Adalah lebih manis jika cadangan-cadangan penambahbaikkan disalurkan kepada pihak-pihak tertentu agar perkara serupa tidak berulang kembali.

MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran
dan Kefahaman Islam
UiTM Kampus Bandaraya,
Johor Bahru

On call bukan kes terpencil=Utusan Malaysia=05/05/2009

On call bukan kes terpencil

SEJAK kebelakangan ini, saya mendapati banyak komen diberikan terhadap tugas on call seorang pegawai perubatan. Namun kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang memberi reaksi kepada isu tersebut baru-baru ini mengejutkan dan mengecewakan saya. Menurutnya, kes seseorang doktor bertugas on call 24 jam tanpa henti adalah perkara terpencil.
Tugasan on call 24 jam sehari dan kemudiannya menyambung kerja harian selama sembilan jam seterusnya adalah perkara biasa di kebanyakan hospital kerajaan. Oleh itu, ia bukanlah kes terpencil.
Tanggapan ini perlu dibetulkan. Ini juga menunjukkan seolah-olah pihak kementerian tidak pernah turun padang untuk menilai sendiri keadaan sebenar.
Biar saya jelaskan beberapa perkara. Saya sendiri adalah seorang pegawai perubatan yang telah berkhidmat hampir enam tahun di hospital kerajaan.
Antaranya saya pernah bertugas di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, dan sekarang sedang melanjutkan pengajian di bidang sarjana perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Saya pernah bertugas di Jabatan Perubatan, Jabatan Pediatrik (Kanak-Kanak) dan sekarang di Jabatan Perubatan dalam Bidang Sarjana Perubatan (Internal Medicine).
Sepanjang perkhidmatan ini, setahu saya, saya dikehendaki menjalani tugasan on call 24 jam dan menyambung semula tugasan keesokan harinya seperti biasa sekiranya ia jatuh pada hari bekerja.
Tidak pernah pula saya diberitahu yang saya boleh mengambil off pada keesokan harinya. Alasan yang selalu diberikan ialah kekurangan doktor.
Sesebuah hospital besar kerajaan atau hospital universiti mempunyai banyak jabatan atau kepakaran, umumnya Jabatan Perubatan, Jabatan Surgeri, Jabatan Bius, Jabatan Pediatrik, Jabatan Perbidanan (OnG), Jabatan Ortopedik dan Jabatan Kecemasan.
Bagi pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Perubatan, Jabatan Surgeri, Jabatan Ortopedik dan Jabatan Pediatrik serta Jabatan Perbidanan, mereka dikehendaki bertugas seperti mana aduan seorang doktor baru-baru ini (bekerja tanpa henti melebihi 30 jam termasuk on call dan tugas biasa).
Isu on call tidak timbul bagi mereka yang bertugas di Jabatan Trauma dan Kecemasan kerana mereka bertugas mengikut syif, iaitu lapan jam pada satu satu masa.
Bagi pegawai perubatan di jabatan-jabatan lain, tugasan on call tidak memerlukan mereka berlari ke sana ke mari ketika bertugas, maka mereka dibenarkan menjalankan on call dari rumah sahaja.
Maka diharap pembaca jelas dengan situasi di atas. Bayaran on call adalah sama iaitu sebanyak RM150 untuk sekali on call, tidak kira jabatan dan beban tugas yang dijalankan.
Jika Dr. A, seorang pegawai perubatan Jabatan Perubatan dan Dr. B, pegawai perubatan Jabatan Oftalmologi (Mata) bertugas pada hari tersebut, bayaran on call mereka tetap sama.
Isunya kini, adakah ia perkara terpencil? Jawabnya, tidak! Isu tidak tidur satu malam dan kelihatan keletihan pada keesokkan harinya adalah perkara biasa. Tetapi kebanyakan kami tidak menjadikannya satu isu kerana kami tahu ia adalah satu tanggungjawab.
Tetapi apabila ia dilabelkan sebagai satu perkara terpencil, bayangkanlah perasaan kecewa dan marah yang bakal timbul selepas ini.
Namun, ingin saya ketengahkan isu yang paling penting di sini. Adakah anda sebagai seorang pesakit yakin menerima rawatan daripada seorang doktor yang telah kepenatan bekerja semalaman?
Saya sendiri tidak tidur malam ketika on call di PPUM. Di PPUM sendiri, kami akan menjaga hampir lapan buah wad di dua menara berlainan ketika on call.
Bukan sahaja kami perlu berjaga tetapi kami juga perlu mempunyai stamina yang kuat untuk berlari ke sana ke mari.
Tanya sahaja mana-mana pegawai perubatan atau surgeri di PPUM atau HKL sendiri. Perkara yang sama berlaku di HTAR dan Hospital Selayang serta Hospital Serdang. Tak tahulah pula keadaannya di Pulau Pinang atau Johor Bahru.
Oleh itu, saya amat berharap pihak kementerian turun padang dan mengikuti kami bertugas on call untuk mengetahui keadaan sebenar.
Diharapkan juga pihak kementerian dapat mengeluarkan satu surat pekeliling bagi menangani isu ini dengan jelas.

DOKTOR TERPENCIL
Kuala Lumpur

Tiada masa doktor berehat=Utusan Malaysia=05/05/2009

Tiada masa doktor berehat

MERUJUK kepada jawapan Menteri Kesihatan di akhbar ini baru-baru ini berhubung isu 'Luahan rasa doktor yang penat' dan 'Tidak senyum kerana keletihan' dalam ruangan Forum akhbar ini bertarikh 1 Mei lalu, saya merasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya sebagai seorang pegawai perubatan di salah satu hospital kerajaan di Pantai Timur.
Saya bersetuju dengan luahan Doktor Hospital Kerajaan pada 1 Mei lalu berkenaan rutin harian seorang doktor seperti kami.
Kenyataan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa perkara yang terjadi itu adalah kes terpencil adalah tidak benar sama sekali. On call adalah tugasan 24 jam, bermula dari pukul 8 pagi hari ini sehingga 8 pagi hari keesokannya.
Sekiranya hari keesokannya adalah hari bekerja, kami akan menyambung membuat tugasan rutin di dalam wad atau klinik sehingga pukul 5 petang pada hari itu. Secara lazimnya, tugasan seorang doktor yang dalam tugasan on call adalah seperti berikut (contoh di sini ialah bagi Pegawai Perubatan Latihan Siswazah atau Houseman):
l Mula bekerja seawal pukul 6.30 - 7 pagi (walaupun waktu rasmi pejabat sepatutnya bermula pukul 8 pagi) bagi penyediaan data pesakit dalam wad bagi tujuan ward round sebelum kehadiran doktor senior.
l Melakukan ward round bersama pegawai perubatan senior (medical officer) dan pakar - selalunya berlanjutan sehingga ke petang sekiranya pesakit di wad terlalu ramai seperti di wad-wad Perubatan Am.
l Menyiapkan tugasan wad yang telah diputuskan semasa ward round bersama pakar (selalunya berlanjutan sehingga selepas waktu pejabat).
Bagi yang tidak on call pada hari itu, kami hanya akan pulang selepas menyiapkan semua tugasan yang telah diputuskan semasa ward round bersama pakar.
Tetapi bagi yang dalam tugasan on call pada hari itu, kami akan terus berada di dalam wad bagi menyambung tugas-tugas kemasukan pesakit baru yang masuk ke wad selepas waktu pejabat sehinggalah pukul 8 pagi keesokan harinya.
Sekiranya ramai pesakit baru pada malam tersebut, kami perlu bersengkang mata menjaga dan merawat pesakit-pesakit baru ini, termasuklah pesakit di dalam wad yang sedia ada sekiranya terdapat masalah kepada pesakit tersebut. Kami hanya boleh berhenti berehat sekiranya kurang kemasukan pesakit baru selepas waktu pejabat atau pesakit dalam wad yang sedia ada tidak menghadapi apa-apa masalah.
l Selesai tugasan on call pukul 8 pagi, kami akan terus menyambung tugas rutin di wad atau klinik seperti biasa sehinggalah tamat waktu pejabat pada hari itu dan tugasan on call akan diteruskan oleh kawan-kawan kami secara bergilir-gilir seperti yang telah ditetapkan. Ini bermakna, bagi yang on call, kami bekerja dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang keesokan harinya secara berterusan (minimum 33 jam).
Ini adalah senario biasa bagi kami sebagai seorang doktor dan kami tidak pernah mengeluh menjalankan tugas kami.
Oleh itu, kenyataan Menteri Kesihatan bahawa setiap doktor yang on call diperuntukkan masa berehat dalam tempoh tugasannya dan doktor terbabit berhak untuk memohon berehat sehari selepas menjalankan tugasnya adalah tidak tepat sama sekali.
Kepada seluruh rakyat Malaysia, cubalah memahami tugas kami ini dan janganlah hanya mengkritik sahaja.
Kita perlu bersyukur kerana Malaysia masih memiliki sistem kesihatan antara yang terbaik di dunia ini. Kepada semua doktor di negara ini, tahniah diucapkan kerana bukan semua orang sanggup dan layak menggalas tugas yang begitu berat tetapi mulia ini.
DR. KAM
Kuala Terengganu

Sunday, February 8, 2009

Isu Perkhidmatan Hospital=Utusan=24 Januari 2009=Memulih perkhidmatan hospital kerajaan

Oleh DR. IRFAN MOHAMAD
SEMINGGU dua ini begitu banyak komen dan berita yang tersiar mengaitkan layanan oleh staf-staf hospital kerajaan terutamanya doktor dan jururawat terhadap pelanggan yang mendapatkan rawatan. Baik dari masa menunggu, mahupun komunikasi kurang berkesan yang berlaku antara pesakit dan perawat.
Semuanya merupakan isu-isu yang telah lama tertera di akhbar, kadang-kadang tersensasi dengan adanya beberapa kes spesifik yang berlaku pada satu-satu masa.
Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa pesakit berhak mendapat layanan yang sepatutnya. Gaya komunikasi yang jika kena caranya sudah cukup untuk menjadi ubat untuk menghilangkan kesengsaraan yang ditanggung.
Memang diakui sepatutnya tiada alasan yang boleh menjadikan suatu herdikan atau kemarahan seseorang petugas kesihatan itu suatu yang boleh dipertahankan. Ia sememangnya suatu kesilapan dan sewajarnya disusuli dengan permohonan maaf.
Profesion perawatan baik kedoktoran dan kejururawatan merupakan suatu yang memerlukan komitmen yang amat tinggi dalam segenap segi.
Adakalanya antisipasi seseorang yang datang untuk mendapatkan rawatan melebihi apa yang dapat diberikan. Dalam mencapai yang segalanya menginginkan situasi ideal, kekurangan di pihak perawat, walaupun bukanlah suatu alasan dalam menjustifikasikan kesilapan yang dilakukan, tetapi harus dilihat atas dasar mereka jua adalah seorang manusia biasa.
Ia tidak seharusnya dilihat sebagai suatu kanser yang sedang merebak dalam profesion itu sendiri, bahkan ia lebih berupa gigitan nyamuk pada kulit.
Jika dengan kaedah pencegahan yang baik, nescaya bilangan gigitan nyamuk ini lama-kelamaan akan berkurangan.
Dari masa ke masa, pihak kerajaan telah sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan yang ada dalam sistem kesihatan di negara kita.
Pemberian elaun yang lebih baik, menambahkan jumlah doktor dalam pasaran hospital kerajaan, memperkenalkan ISO dan pelbagai pengukur kualiti perkhidmatan hospital adalah bertujuan untuk mencapai situasi ideal seperti yang diidamkan semua.
Adalah juga tidak adil untuk membandingkan mutu di hospital kerajaan dengan hospital swasta. Banyak faktor yang harus dilihat yang menyumbang kepada perbezaan ini termasuklah jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan jauh lebih rendah di hospital swasta, gaji dan elaun yang lebih tinggi bagi kakitangan swasta. Pihak Kementerian Kesihatan dari masa ke masa telah cuba untuk merapatkan jurang ini.
Selain faktor tekanan kerja yang adakalanya menyebabkan seorang doktor itu berkelakuan seperti seorang manusia biasa, ramai juga pesakit yang merungut tentang tempoh masa menunggu. Iltizam kerajaan untuk memendekkan masa tersebut kepada 30 minit masih lagi menjadi suatu harapan yang dikejar belum kesampaian.
Di samping faktor pesakit di hospital kerajaan yang ramai, dan faktor kekurangan bilangan doktor dinisbahkan kepada bilangan pesakit, serta komitmen doktor yang sedia ada terhadap aktiviti perawatan yang lain seperti lawatan ke wad, menguruskan kes-kes kecemasan yang tiada dalam jadual, perbincangan kes pesakit tertentu yang memerlukan penyiasatan yang lebih terperinci mungkin menyebabkan tempoh singkat rawatan pesakit yang lebih awal, menjadi lebih panjang.
Melihat dan merawat seorang pesakit lebih-lebih lagi pesakit baru adalah jauh lebih lama daripada pesakit yang ada dalam rawatan susulan. Justeru, faktor terlebih masa untuk seorang pesakit mungkin sentiasa ada pada mana-mana pesakit.
Tiada doktor yang ingin atau sengaja melewat-lewatkan konsultasi di klinik, baik waktu mula mahupun waktu akhir. Pasti ada sesuatu yang berlaku atau perlu dilakukan yang hanya organisasi jabatannya atau hanya dia dan Tuhannya yang tahu.
Mungkin ada antara kita yang tidak pernah terfikir yang begitu ramai sekali doktor yang tidak dapat makan tengah hari atau setidak-tidaknya makan tengah hari pada masanya disebabkan mereka tidak mahu pesakit menunggu.
Jauh sekali untuk mendapatkan masa yang begitu tenang untuk meneguk secawan kopi pada masa yang orang lain memanggilnya sebagai 'tea break' pada jam 10 pagi.
Bagi mereka yang lebih selesa dan berkemampuan untuk ke hospital swasta teruskanlah kerana ia juga akan menggalakkan agihan pesakit kepada jumlah doktor yang lebih luas.
Bagi yang lain, pintu hospital sentiasa terbuka menanti kedatangan anda. Kami cuba untuk memberikan yang terbaik buat semua, namun atas kudrat dan kapasiti yang ada, mungkin ada kekurangan di sini dan sana.
Kepada perawat sekalian, profesion anda adalah suatu yang dimuliakan. Teruskan khidmat bakti anda kerana anda mempunyai suatu yang amat sedikit orang memilikinya tetapi amat banyak orang yang memerlukannya.
Percayalah, anda tetap seorang doktor yang dikenang bukan sahaja hingga ke akhir hayat bahkan selepas anda meninggal dunia pun, mereka masih lagi memanggil anda sebagai doktor.

ANALISA UNDI

Apakah cara PALING BERKESAN untuk memperjuangkan isu MPH dan naik pangkat ini?

Media seperti akhbar=13 (59%)
Surat aduan ke KKM=0 (0%)
Parti politik seperti BN, PAS, PKR dll=3 (13%)
Melalui Ceupacs / SUHAKAM / BPR dll=4 (18%)
Surat aduan kepada Pak Lah=2 (9%)
Buat senyap aje.....=0 (0%)

BANYAK KOMEN SAYA TERIMA

Salam sejahtera. Terima kasih kerana sudi untuk melayari blog ini. Blog ini saya create supaya dapat berinteraktif dengan semua pihak terutamanya doktor-doktor di malaysia.

Banyak komen telah saya terima, ada menyokong dan tidak kurang yang membantah. Apa pun, semua itu adalah pendapat masing-masing.

Saya berpegang kepada prinsip saya dan sama ada anda setuju atau tidak, itu masalah anda. Dalam isu kenaikan pangkat, mungkin ada yang puas hati dengan kedudukan sekarang, so..... go in. Tapi siapa yang rasakan dirinya teraniaya, kita ada peluang untuk mendapatkan hak kita. Banyak caranya. Komplain adalah salah satu cara. Jika tak komplain, maka orang tidak tahu.

Junior saya, dari bahagian pengurusan, dah pun memangku 52. Saya dan rakan-rakan???? Baru confirm 44. Jika rasa puas hati dengan keadaan ini, so better senyap dan biarkan orang buat anda seperti bola. Sepak ke sana ke mari. Tapi jika merasakan hak anda diperkotak-katikkan kan, maka salah satu cara ialah KOMPLAIN dan BERI TAHU RASA TAK PUAS HATI. Kita bukan menderhaka, tetapi perlukan hak yang adil dan saksama.

TEPUK DADA, TANYA SELERA.....TAPI MACAM MANA JIKA SELERA DAH TAK ADA KERANA REZEKI DAH TIADA.....