Monday, June 30, 2008

Isu MPH=Berita=1 Julai 2008=Jawapan isu jawatan pakar perubatan tak memuaskan

SAYA ingin merujuk kepada jawapan Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Kesihatan, Mohd Sabri Abdullah berkaitan perjawatan bagi pakar kesihatan yang disiarkan dalam ruangan ini, baru-baru ini. Jawapan yang diberikan itu tidak dapat meleraikan kemelut dan penantian kami selama ini. Saya masih berprasangka ada pihak tertentu tidak nampak atau sengaja buat tidak nampak fungsi Pakar Perubatan Kesihatan Awam (PPKA). Saya mahu berkongsi pengalaman sebagai Penolong Pengarah Kawalan Penyakit Tibi di Jabatan Kesihatan Negeri agar semua pihak memahaminya termasuk Menteri Kesihatan, ketua setiausaha dan ketua pengarah kesihatan. Bilangan kes pesakit tibi adalah antara tertinggi di kalangan penyakit berjangkit yang lain di negara ini (lebih 16,000 kes tibi baru di Malaysia pada 2006). Antara petunjuk dalam Matlamat Pembangunan Alaf Baru (MDG) ialah untuk mengurangkan kadar kematian disebabkan tibi. Sasaran utama di dalam Rancangan Kawalan Tibi Kebangsaan (selaras dengan WHO) adalah bagi mengesan awal dan merawat awal penyakit itu. Ia dilakukan melalui usaha memperkasakan anggota kesihatan, pendidikan kesihatan kepada masyarakat, meningkatkan kadar saringan di jabatan pesakit luar, mengadakan siri latihan kepada anggota, lawatan pemantauan ke hospital dan juga klinik kesihatan dan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
Umumnya, masyarakat maklum mengenai wad tibi beberapa tahun lalu dimansuhkan dan kepada siapakah tanggungjawab memantau rawatan pesakit tibi ini diberi? Jawapannya adalah kepada kami yang setiap hari berusaha dengan anggota di bahagian kesihatan lain memastikan pesakit tibi menerima rawatan setiap hari untuk dua bulan dan dua kali seminggu selama sekurang-kurangnya empat bulan. Kami bertanggungjawab memastikan pesakit tibi yang cicir rawatan dikesan dan dipujuk semula untuk menyambung rawatan. Setiap kes tibi yang meninggal dunia perlu dijalankan audit kematian bagi mengenal pasti faktor berkaitan dan seterusnya langkah tambah baik dapat dilakukan. Pendeknya bermula dari setiap kes tibi didiagnosis sehingga kepada tamatnya rawatan dipantau oleh kami. Memandangkan kuman tibi berjangkit melalui udara, setiap kes akan dipastikan hubungannya (orang yang tinggal bersama) dikesan dan diperiksa.
Saya jangka tanpa tindakan atau aktiviti terbabit, sudah pasti hospital tidak mampu merawat semua pesakit tibi dan kadar kematian berkaitan tibi akan meningkat disebabkan kelewatan diagnosis dan rawatan. Tanpa peranan dan komitmen PPKA, mampukah negara setanding dengan negara lain dalam memerangi tibi? Saya sebenarnya bangga dan bersyukur dengan kepakaran saya dalam kesihatan awam ini yang membolehkan saya berhubung rapat dengan masyarakat dan meningkatkan mutu kesihatan rakyat. Namun, saya amat terkilan dan sedih dengan kegagalan Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Perkhidmatan Awam di atas diskriminasi yang cuba menyamakan kepakaran kami dengan kepakaran lain. Marilah kita sama-sama bertindak secara profesional dalam menjalankan proses kenaikan pangkat segolongan skim, janganlah mencantas hak orang lain sehingga kami yang berkhidmat lebih 11 tahun dan memiliki kepakaran dalam kesihatan awam masih pada tahap UD 41 (hampir 100 orang Pakar Perubatan Kesihatan Awam masih di Gred UD41). Jawapan yang diberikan Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan yang menyatakan mereka sedang aktif bertindak bagi mengatasinya adalah jawapan dan retorik yang lama berkumandang, terutama pegawai yang bertugas di Bahagian Naik Pangkat Golongan Profesional. Sudah tiba masanya, Menteri Kesihatan menyelidik secara terus masalah ini (berbincang dengan Pakar Perubatan Kesihatan Awam) kerana tiada pegawai atasan yang memahami dan dapat membantu memperjuangkan hak kami.

PAKAR PERUBATAN KESIHATAN AWAM, Kota Bharu, Kelantan.

2 comments:

Anonymous said...

Kes Tibi lebih tinggi berbanding denggi yang bermusim dan lebih ramai pesakit mati disebabkan denggi.

Mengapa KKM menganaktirikan promosi Tibi berbanding Denggi ?

Asyik salahkan golongan bawahan apabila gagal mengesan kes Tibi dengan banyak melalui Active Case Detection dan Intensive Case Finding.

sama-sama fikirkan.

Anonymous said...

Pembetulan :

Kes TIBI lebih tinggi berbanding denggi yang bermusim dan lebih ramai pesakit mati disebabkan TIBI berbanding Denggi.

Mengapa KKM menganaktirikan promosi Tibi berbanding Denggi ?

Asyik salahkan golongan bawahan apabila gagal mengesan kes Tibi dengan banyak melalui Active Case Detection dan Intensive Case Finding.

sama-sama fikirkan.