Thursday, June 12, 2008

Isu MPH=Surat Kepada PM

Aduan Kenaikkan Pangkat Di Kementerian Kesihatan Malaysia Yang Tidak Menyeluruh = TELAH DIHANTAR OLEH GENG KITA

Saya adalah merupakan seorang Pegawai Perubatan UD44 (Memangku) di Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan. Saya telah memulakan perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Kota Bharu (1998-2000), kemudiannya di Hospital Bintulu dan Klinik Kesihatan Pejabat Kesihatan Bintulu Sarawak (2000-2002). Saya telah berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dan telah menamatkan pengajian sarjana (master) di dalam bidang Perubatan Masyarakat/Kesihatan Awam pada 17.8.2006. Saya kemudiannya ditugaskan di Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sehingga 1.10.2007 dan di atas permohonan sendiri, saya ditukarkan kembali ke Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada KKM di atas pertukaran saya tersebut.

Untuk pengetahuan YAB Dato’ Seri, pada tahun 2007 terdapat kenaikkan pangkat Pegawai Perubatan UD41 ke UD48. Senarai nama mereka yang mendapat kenaikkan pangkat tersebut adalah agak mengejutkan memandangkan tiada kriteria jelas yang digunapakai (pada pendapat peribadi saya). Ini kerana terdapat di antara mereka yang bekerja kurang atau sama 10 tahun, tidak memiliki ijazah sarjana lanjutan, masih sambung belajar sarjana di Universiti dan ada yang telah ‘resign’ pun masih mendapat kenaikkan pangkat tersebut (hasil dari pemerhatian dan perbincangan dengan rakan-rakan). Saya telah bersikap positif pada mulanya dengan mengatakan bahawa mungkin ini adalah rezeki mereka namun selagi KKM TIDAK menggunakan satu sistem kenaikkan pangkat atau kriteria tertentu yang jelas dan konsisten, maka isu ini tidak akan selesai sampai bila-bila. Ia sedikit sebanyak telah menidakkan hak bagi mereka yang benar-benar layak untuk kenaikkan pangkat tersebut.

Saya difahamkan terdapat beberapa penambahbaikkan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan KKM hasil dari rungutan yang diterima dengan mengemaskinikan ‘database’ mereka berkenaan dengan senarai Pegawai-pegawai Perubatan di bawah jagaan mereka. Pada tahun ini (2008) beberapa tawaran kenaikkan pangkat pelbagai gred telah dikeluarkan oleh pihak KKM dan yang terbaru adalah Kenaikkan Pangkat Pakar Perubatan Pelbagai Disiplin dari UD41/UD44 ke UD48. Apa yang saya sangat tidak berpuas hati adalah tentang status Pakar Kesihatan Awam. Saya adalah salah seorang dari ramai Pegawai Perubatan lain yang telah mengambil kepakaran dalam bidang Perubatan Masyarakat/Kesihatan Awam (Public Health) selama 4 tahun. Namun dari segi kenaikkan pangkat samada dari kelompok (pool) Pakar Perubatan Pelbagai Disiplin atau kelompok Pegawai Perubatan (bukan pakar)/ Pegawai Perubatan Pentadbir, kami kerap tertinggal. Sehingga kini, ada di antara kami yang telah berkhidmat selama 12-14 tahun tetapi masih di status UD41 atau UD44 (memangku). Kerap juga surat kenaikkan pangkat yang dikeluarkan menetapkan “KECUALI PAKAR KESIHATAN AWAM”. Ramai juga di kalangan kami apabila mengajukan persoalan ini di bahagian Kenaikkan Pangkat KKM mereka mengatakan bahawa kami tidak dianggap sebagai “PAKAR”. Ini terbukti apabila elaun kesihatan awam yang kami terima hanyalah 2/3 sahaja dari elaun pakar klinikal lain. Apakah salah kami sehingga dianaktirikan sedemikian rupa?. Saya mengambil jurusan kepakaran ini kerana minat yang amat mendalam dan adalah merupakan pilihan utama saya hasil dari pengalaman dan pendedahan yang telah saya terima sewaktu berkhidmat di Sarawak. Saya merasakan, ramai di antara rakan-rakan juga begitu iaitu memilih bidang ini sebagai pilihan pertama. Sekiranya pihak KKM sendiri tidak mengiktiraf kepakaran ini, kenapakah hampir semua universiti awam di negara ini masih menawarkan kursus tersebut sehingga ke hari ini?. Seharusnya pihak Kementerian mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menutup terus kursus pengajian kepakaran Perubatan Masyarakat/ Kesihatan Awam dari membiarkan graduan lepasan ijazah ini yang keluar saban tahun, dianaktirikan.

Hasil dari ketidak adilan ini, ada di kalangan kami yang telah berhenti termasuklah yang sedang belajar pasca siswazah jurusan Perubatan Masyarakat/Kesihatan Awam di universiti-universiti tempatan (hasil dari pemerhatian dan tiada statistik khusus untuk menyokong kenyataan ini). Yang lebih menyedihkan adalah ada di antara mereka yang berhenti ini adalah pegawai yang berkarisma, berwibawa dan begitu komited terhadap kerja. Namun apabila persekitaran kerja yang tidak ‘favourable’ maka tindakan tersebut adalah merupakan pilihan terakhir. Saya menjangkakan (pendapat peribadi tanpa analisa khusus) mungkin suatu hari nanti golongan ‘Pakar Kesihatan Awam’ ini akan pupus dan Bahagian Kesihatan Awam, KKM akan digantikan oleh Pegawai Perubatan tanpa kepakaran atau dengan kepakaran selain dari Kesihatan Awam. Sekiranya ini berlaku, saya merasakan bahawa program dan aktiviti Kesihatan Awam yang berorientasikan tindakan preventif dan promotif dalam mengawal sesuatu penyakit di dalam masyarakat, akan terjejas.

Saya amat berharap agar YAB Dato’ Seri dapat memahami masalah yang dihadapi oleh saya dan rakan-rakan. Semoga akan ada sedikit cahaya dalam bidang kepakaran yang kami ceburi pada masa hadapan. Perhatian dari pihak YAB Dato’ Seri amatlah dihargai dan jutaan terima kasih di atas peluang yang diberikan ini.

Sekian.

1 comment:

Unknown said...

salam,
tahniah atas usaha anda ini. Hari ini saya baru dapat tahu ada satu lagi senarai kenaikan pangkat ke UD48 telah keluar dan melibatkan lebih 100 orang pegawai. Bila disemak dengan pihak JKA, sekali lagi nama saya tiada dalam senarai dan nama sahabat yg 2 tahun junior dapat kenaikan UD48 ini...sejarah berulang lagi....

Dari: Rosliza72 (MPH 2006)