Wednesday, June 18, 2008

PBBM Syor Struktur Semua Perkhidmatan Awam Disatukan Di Bawah Satu Skim

SINTOK, 15 Jun (Bernama) -- Persatuan Badan-badan Berkanun Malaysia (PBBM) hari ini mengesyorkan kepada kerajaan supaya menyatukan semua perkhidmatan di bawah satu skim bagi menghadapi cabaran alaf ini. Presiden PBBM Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata penyatuan semua perkhidmatan akan memberi peluang kepada kakitangan terbaik mencapai tahap tertinggi dalam karier mereka dengan kerajaan."Mengikut sistem sekarang hanya mereka dalam kategori 'M' (Pegawai Tadbir dan Diplomatik) berpeluang mengetuai pentadbiran tertinggi kerajaan sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau Ketua Setiausaha (KSU)," katanya.Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tertinggi jawatankuasa PBBM sempena mesyuarat agung kali ke-25 di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini, beliau berkata "kelompok" kategori itu adalah kecil sekitar 500 pegawai sedangkan mereka yang seangkatan semasa pengambilan mungkin mencecah 50,000 orang."Untuk mencari bakat terbaik mencapai kemuncak kerjaya seharusnya datang daripada kalangan 50,000 orang bukan 500 orang, kata Dr Nordin.Walaupun KSN pernah menyatakan sesiapapun yang mencapai taraf JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) boleh dipilih menjadi ketua pengarah dan sebagainya tetapi pertimbangan utama masih diberi kepada mereka daripada skim perkhidmatan kumpulan M."Doktor perubatan yang cemerlang dalam perkhidmatan, memasuki universiti dengan keputusan mata 4.0 pada peringkat matrikulasi tidak mungkin mencapai kemuncak karier berbanding yang memasuki universiti dengan mata lebih rendah melalui saluran lain apabila mereka memilih perkhidmatan M," katanya.Dr Nordin, yang juga Naib Canselor UUM, berkata PBBM berharap kerajaan berazam melaksanakan syor itu untuk menyatukan pegawai awam di bawah satu perkhidmatan sahaja supaya kerajaan tidak kehilangan bakat terbaik.Dalam perkembangan lain, mesyuarat PBBM itu mencadangkan satu akta induk diwujudkan sebagai rujukan bagi semua badan berkanun di negara ini terutama daripada segi perkhidmatan dan kewangan.Katanya satu pasukan petugas diketuai Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Abdul Shukor Abdul Rahman ditubuhkan bagi menjalankan kajian badan berkanun melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan untuk membantu kerajaan.

-- BERNAMA

No comments: