Ganjaran lebih baik untuk doktor
SANTUBONG 31 Mei - Kementerian Kesihatan sedang merumuskan skim perkhidmatan dan ganjaran yang lebih baik untuk mengekalkan doktor dalam perkhidmatan kerajaan sebagai usaha membendung 'penghijrahan profesional' ke sektor swasta.
Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai (gambar) berkata, pada puratanya, 300 doktor dan 50 pakar pada gred UD41, UD44 dan UD48 meletakkan jawatan daripada perkhidmatan kerajaan, dengan memberikan alasan tidak puas hati dengan gaji, beban tugas dan persekitaran tempat kerja.
"Kementerian sedar dengan kekurangan doktor dan 'penghijrahan profesional' ke sektor swasta. Saya berikan jaminan yang kami tidak berdiam diri mengenainya.
"Contohnya, isu elaun bagi pakar dan prospek kenaikan pangkat yang lebih baik bagi mereka sedang dikaji secara serius oleh kementerian dan keputusannya dijangkakan tidak lama lagi. Saya beri jaminan yang kementerian akan mengumumkan berita baik itu tidak lama lagi," katanya pada majlis jamuan malam ke-48 Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di sini.
Menurut beliau, tugas pertamanya ialah menyampaikan keprihatinan Persatuan Perubatan Malaysia supaya doktor Semenanjung Malaysia dibenarkan bebas bekerja di Sarawak.
"Kami berharap kerjasama rapat antara kementerian dan kerajaan negeri akan dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin," katanya.
Tiong Lai juga berkata, kementerian itu sedang berunding dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi skim perkhidmatan yang lebih baik untuk doktor muda.
"Pegawai perubatan yang telah menamatkan latihan dua tahun dan menjalani kursus induksi wajib dan memenuhi syarat berkaitan akan secara automatik dinaikkan daripada UD41 ke UD44 pada tahun ketiga kerjaya mereka.
"Pada masa sama, kebajikan pegawai perubatan UD41 sedia ada yang dilantik sebelum 2008 juga tidak dilupakan. Mereka akan dapat faedah menerusi pindaan sewajarnya terhadap gred mereka," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Presiden MMA, Datuk Dr. Khoo Kah Lin meminta kementerian menyegerakan penempatan doktor baru.
"Kami tahu Singapura telah mengambil doktor kita kerana proses bagi pengambilan doktor baru adalah singkat kerana permohonan dan pemprosesan dilakukan secara dalam talian (on-line)," katanya.
- Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment