Thursday, June 12, 2008

Isu MPH=Berita=2 Jun 2008=Pegawai perubatan berasa terpinggir

Pegawai perubatan berasa terpinggir

SEJAK kebelakangan ini, Kementerian Kesihatan banyak menyebarkan
mengenai keistimewaan diberikan kepada pegawai perubatan yang baru
bertugas dan pakar perubatan. Namun demikian, ada segelintir golongan pegawai perubatan dan pakar perubatan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi tetapi terpinggir. Sebagai
contoh, saya adalah pakar perubatan kesihatan awam yang sudah berkhidmat selama 15 tahun dengan kerajaan tetapi masih memangku gred U44. Saya dilantik sebagai pegawai perubatan siswazah pada 1994 dan disahkan jawatan pada 1997. Kemudian saya menyambung pelajaran dalam bidang sarjana perubatan kesihatan awam pada 2002 hingga 2004. Kemudian saya diwartakan sebagai pakar perubatan kesihatan awam pada 2005. Pada Jun 2006, saya diberi pemangkuan ke gred UD44 tetapi masih belum disahkan dalam gred sekarang sehingga hari ini. Sebaliknya, rakan saya dalam bidang kepakaran klinikal sudah dinaikkan ke gred UD52.
Malah, bidang lain seperti pegawai sains, mereka akan disahkan dalam gred berkenaan dalam tempoh tidak lebih dua tahun memangku jawatan itu dan akan dinaikkan ke gred 48 selepas berkhidmat di antara lima hingga 10 tahun. Pelbagai alasan dan janji diberikan kementerian untuk menyelesaikan masalah ini. Saya tidak tahu kenapa saya dan rakan yang senasib diperlakukan sedemikian rupa sedangkan kami bekerja dengan penuh dedikasi siang dan
malam bagi menjaga kesihatan rakyat terutama apabila berlaku wabak penyakit dan sebagainya. Jika prestasi kerja dijadikan ukuran untuk kenaikan pangkat, saya memang layak kerana setiap tahun markah prestasi tidak pernah kurang daripada 90 peratus. Memang tidak dinafikan kementerian tidak mengiktiraf lulusan Sarjana Kesihatan Awam sebagai pakar perubatan tetapi berilah kami keadilan dan hak kami seperti pegawai kerajaan yang lain.

DOKTOR DEDIKASI TUNTUT KEADILAN,
Kuantan, Pahang.

No comments: