Tarik Doktor Ke Hospital Kerajaan
PUTRAJAYA 9 Jun - Kementerian Kesihatan akan mencari jalan untuk menarik lebih ramai doktor yang berkhidmat di luar negara dan hospital swasta untuk kembali ke hospital kerajaan.
Menterinya, Datuk Liow Tiong Lai berkata, usaha itu bagi menampung kekurangan doktor yang berlaku di hospital kerajaan berikutan pengaliran keluar 300 doktornya ke hospital swasta setiap tahun.
Beliau berkata, kerajaan telah mewujudkan program untuk membolehkan doktor dari hospital swasta berkhidmat di hospital kerajaan pada masa lapang tetapi hasilnya kurang memuaskan.
Kebanyakan doktor dari hospital swasta yang menyertai program ini ialah untuk bahagian pesakit luar tetapi tidak ramai doktor pakar yang menyertai program ini. Ini mungkin disebabkan tawaran hospital kerajaan yang kurang menarik dan kita perlu mengkaji semula terma perkhidmatan yang ditawarkan kepada doktor-doktor pakar ini," katanya selepas merasmikan Persidangan Kemas Kini Patologi Payu Dara di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Tiong Lai berkata, masalah kekurangan doktor dan jururawat di hospital-hospital kerajaan perlu ditangani segera kerana lebih ramai rakyat mungkin akan memilih rawatan di hospital kerajaan berikutan kenaikan harga bahan api yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Jika doktor tempatan masih tidak mencukupi maka kita akan mencari doktor dari luar negara. Buat masa ini kita mempunyai 500 doktor asing. Selain itu, kita menghadapi kekurangan jururawat kerana ramai di kalangan mereka memilih bekerja di negara lain khasnya di Asia Barat," katanya.
Ditanya mengenai pelaksanaan Skim Insurans Kesihatan Nasional, Tiong Lai berkata, skim tersebut masih diperhalusi kerajaan. Laporan awal mengenai skim itu tidak memuaskan dan saya telah meminta Ketua Pengarah Kesihatan supaya skim ini diteliti semula supaya ia sesuai dengan keperluan rakyat kita.
Kita tidak boleh menjalankan rancangan ini berdasarkan keadaan di luar negara, ia sebaliknya perlu dijalankan mengikut acuan tempatan'' katanya. Tambah beliau, buat masa ini, 98 peratus kos rawatan rakyat di hospital kerajaan disubsidi kerajaan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment