Friday, June 27, 2008

Isu MPH=Berita=23 Jun 2008=Pakar kesihatan awam dianak tiri

Pakar kesihatan awam dianak tiri

TERIMA kasih kepada jawapan yang diberikan pihak Sumber Manusia Kementerian Kesihatan dalam ruangan ini, 19 Jun lalu. Namun, persoalan yang ditimbulkan masih tidak terjawab berhubung kenaikan pangkat. Kami ingin mengetahui mengapa kenaikan pangkat Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang mengambil pengajian Sarjana Perubatan selama empat tahun tidak secara automatik kepada Gred UD48. Ada di antara kami yang lulus sarjana pada 2004 masih pada gred hakiki UD41. Pegawai Perubatan lain yang tidak mengambil apa-apa kursus Sarjana nampaknya menikmati kenaikan pangkat lebih baik daripada kami.
Lebih teruk sekiranya dibandingkan pegawai tadbir diplomatik yang tanpa ijazah Sarjana dan hanya bekerja selama empat hingga lima tahun sudah naik ke Gred M48. Alasan yang diberikan pihak Sumber Manusia bahawa tiada penyisihan dalam mana-mana skim perkhidmatan hanya kata-kata manis dan bersifat retorik kerana kerap kali surat kenaikan pangkat berbunyi seperti berikut 'Tawaran Kenaikan Pangkat Pakar Perubatan (Pelbagai Disiplin) U41 ke U48 kecuali Pakar Kesihatan Awam'. Perkataan kecuali di sini adalah satu bentuk penyisihan secara formal. Jawapan yang diberikan berhubung perbezaan elaun kepakaran adalah disebabkan bidang tugas berbeza. Di sini kami ingin menekankan bahawa sememangnya ia berbeza. Seperti pakar kanak-kanak dan pakar patologi juga mempunyai tugas berbeza. Bagi pakar kesihatan awam, pesakit kami adalah masyarakat. Kejadian sesuatu wabak adalah sesuatu yang begitu mencabar profesion kami dari segi tindakan kawalan dan menyiasat punca wabak. Masa yang kami habiskan seperti doktor pakar perubatan yang 'on call' atau seorang pakar bedah yang membedah pesakit dalam dewan bedah melebihi lapan jam.
Harus diingat, apabila wabak serius berlaku, kami akan bekerja siang dan malam di bilik gerakan dan di lapangan untuk menghalang sesuatu wabak daripada merebak. Kejadian keracunan di sekolah yang semakin menjadi-jadi sekarang adalah satu lagi masalah kesihatan awam. Sahabat kami di daerah, terpaksa turun padang dan menutup premis dapur atau kantin sekolah setiap kali keracunan makanan terjadi. Kami juga berperanan dalam menjalankan tugas seperti penguatkuasaan. Sekiranya pemeriksaan premis makanan dilakukan dan penutupan harus dilakukan, maka tindakan penyitaan ini dilakukan oleh kami yang mempunyai kuasa dan kadang-kadang terpaksa berdepan pelbagai risiko. Jadi, di mana rasionalnya perbezaan elaun kepakaran ini? Di sini kami ingin menekankan bahawa kami bukan hanya berada di pejabat membuat pengurusan mengenai kakitangan, perbelanjaan, aduan awam (yang juga bukan tugas mudah) tetapi juga menjalankan tugas lain dan memantau perkhidmatan rawatan dan rehabilitasi pada peringkat klinik kesihatan.


DOKTOR PAKAR, Kelantan.

YANG INI ADALAH FULL VERSION BEFORE EDITED BY AKHBAR:SUMBER MANUSIA KEMENTERIAN KESIHATAN: JAWAPAN BASI LAGI

Terima kasih kepada Jawapan yang telah diberikan oleh Sumber Manusia Kementerian Kesihatan di dalam ruangan ini pada 19 hb Jun 2008. Namun, persoalan yang ditimbulkan masih lagi tidak terjawab. Kami ingin mengetahui mengapakah kenaikan pangkat Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang telah mengambil pengajian sarjana/master perubatan selama 4 tahun tidak seperti pakar perubatan yang lain yang secara automatiknya selepas proses perwartaan akan mendapat gred UD48. Ada di antara kami yang telah lulus sarjana pada tahun 2004 masih lagi digred hakiki UD41!. Pegawai Perubatan lain yang tidak mengambil apa-apa kursus sarjana/ master nampaknya mempunyai kenaikan pangkat yang lebih baik dari kami. Lebih teruk sekiranya dibandingkan dengan pegawai pentadbiran di mana tanpa ijazah sarjana dan hanya bekerja selama 4-5 tahun sudah naik ke gred M48. Alasan yang diberikan oleh Sumber Manusia bahawa tiada penyisihan dalam mana-mana skim perkhidmatan juga hanya kata-kata manis dan bersifat retorik semata-mata kerana kerapkali surat kenaikan pangkat berbunyi seperti berikut ”Tawaran Kenaikan Pangkat Pakar Perubatan (Pelbagai Disiplin) U41 ke U48 kecuali Pakar Kesihatan Awam”. Adanya perkataan KECUALI di sini adalah merupakan satu bentuk penyisihan secara formal.
Jawapan yang diberikan oleh Sumber Manusia tentang perbezaan elaun kepakaran adalah disebabkan bidang tugas yang berbeza. Di sini kami ingin menekankan bahawa sememangnya ia berbeza. Seperti juga Pakar Kanak-kanak dan Pakar Patologi juga mempunyai tugas yang berbeza. Kami, Pakar Kesihatan Awam, pesakit kami adalah masyarakat. Kejadian sesuatu wabak adalah merupakan sesuatu yang begitu mencabar profesion kami dari segi tindakan kawalan dan menyiasat punca wabak. Masa yang kami habiskan adalah sebagaimana seorang doktor pakar perubatan yang ’on call’ atau seorang pakar bedah yang membedah pesakit dalam dewan bedah melebih 8 jam. Kerana apabila wabak yang serius berlaku, kami akan bekerja siang malam di bilik gerakan dan di lapangan untuk menghalang sesuatu wabak dari menjadi tidak terkawal. Sahabat kami di bahagian vektor contohnya, terpaksa berkampung di sesuatu lokaliti atau tempat untuk memastikan aktiviti kawalan mitigasi dan preventif berjalan dengan sepenuhnya. Sekiranya tindakan kawalan yang tidak berkesan, sudah pasti lebih ramai pesakit akan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital dan seterusnya meningkatkan beban kerja rakan-rakan kami yang bekerja di hospital. Kejadian keracunan di sekolah-sekolah yang semakin menjadi-jadi sekarang ini juga merupakan satu lagi masalah kesihatan awam yang berlaku. Sahabat kami di daerah, terpaksa turun padang dan menutup premis dapur atau kantin sekolah setiap kali keracunan makanan terjadi. Kami juga berperanan dalam menjalan tugas seperti penguatkuasaan. Sekiranya pemeriksaan premis makanan dilakukan dan penutupan harus dilakukan, maka tindakan penyitaan ini dilakukan oleh kami yang mempunyai kuasa dan kadang-kadang terpaksa berdepan dengan risiko seperti kecederaan dan ugutan oleh segelintir pemilik premis yang engkar. Jadi, di mana rasionalnya perbezaan elaun kepakaran ini?
Di sini Kami ingin menekankan bahawa kami bukan hanya berada di pejabat membuat pengurusan tentang kakitangan, perbelanjaan, aduan awam (yang juga merupakan bukan tugas mudah) tetapi juga menjalankan ’community diagnosis’, ”promotion”, ”preventive and mitigative actions”, ”infectious disease surveillance” dan memantau perkhidmatan rawatan dan rehabilitasi di peringkat klinik kesihatan seperti perkhidmatan pesakit luar, kecemasan dan perkhidmatan ibu dan kanak-kanak.
Untuk menyelesaikan kemelut ini, sudah tiba masanya pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (termasuk Ketua Pengarah Kesihatan), Jabatan Perkhidmatan Awam, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti tempatan, SUHAKAM, CUEPACS dan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau tidak, untuk bersama-sama berbincang dan mengeluarkan kenyataan rasmi tentang kedudukan Pakar Kesihatan Awam ini yang tidak mendapat pengiktirafan selayaknya dan nampaknya seperti tidak akan berkesudahan ini. Janganlah kerana pengalaman pada masa lalu, kami generasi baru dalam ’Public Health’ ini turut dijadikan mangsa. Sama-samalah kita berusaha agar kepentingan rakyat atau Masyarakat Umum (Public Health) untuk mendapat status kesihatan yang cemerlang tidak tergugat semata-mata kemelut yang berlaku ini. Rakyat berhak untuk tidak terdedah kepada risiko penyakit berjangkit (seperti denggi dan malaria) dan berhak untuk menerima perkhidmatan yang berkesan dalam pengurusan penyakit tidak berjangkit (seperti kencing manis dan darah tinggi) yang mana merupakan antara tugas teras kami.
SEKIAN.

Dr.Public Health Physician.

No comments: