Tiada masa doktor berehat
MERUJUK kepada jawapan Menteri Kesihatan di akhbar ini baru-baru ini berhubung isu 'Luahan rasa doktor yang penat' dan 'Tidak senyum kerana keletihan' dalam ruangan Forum akhbar ini bertarikh 1 Mei lalu, saya merasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya sebagai seorang pegawai perubatan di salah satu hospital kerajaan di Pantai Timur.
Saya bersetuju dengan luahan Doktor Hospital Kerajaan pada 1 Mei lalu berkenaan rutin harian seorang doktor seperti kami.
Kenyataan Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa perkara yang terjadi itu adalah kes terpencil adalah tidak benar sama sekali. On call adalah tugasan 24 jam, bermula dari pukul 8 pagi hari ini sehingga 8 pagi hari keesokannya.
Sekiranya hari keesokannya adalah hari bekerja, kami akan menyambung membuat tugasan rutin di dalam wad atau klinik sehingga pukul 5 petang pada hari itu. Secara lazimnya, tugasan seorang doktor yang dalam tugasan on call adalah seperti berikut (contoh di sini ialah bagi Pegawai Perubatan Latihan Siswazah atau Houseman):
l Mula bekerja seawal pukul 6.30 - 7 pagi (walaupun waktu rasmi pejabat sepatutnya bermula pukul 8 pagi) bagi penyediaan data pesakit dalam wad bagi tujuan ward round sebelum kehadiran doktor senior.
l Melakukan ward round bersama pegawai perubatan senior (medical officer) dan pakar - selalunya berlanjutan sehingga ke petang sekiranya pesakit di wad terlalu ramai seperti di wad-wad Perubatan Am.
l Menyiapkan tugasan wad yang telah diputuskan semasa ward round bersama pakar (selalunya berlanjutan sehingga selepas waktu pejabat).
Bagi yang tidak on call pada hari itu, kami hanya akan pulang selepas menyiapkan semua tugasan yang telah diputuskan semasa ward round bersama pakar.
Tetapi bagi yang dalam tugasan on call pada hari itu, kami akan terus berada di dalam wad bagi menyambung tugas-tugas kemasukan pesakit baru yang masuk ke wad selepas waktu pejabat sehinggalah pukul 8 pagi keesokan harinya.
Sekiranya ramai pesakit baru pada malam tersebut, kami perlu bersengkang mata menjaga dan merawat pesakit-pesakit baru ini, termasuklah pesakit di dalam wad yang sedia ada sekiranya terdapat masalah kepada pesakit tersebut. Kami hanya boleh berhenti berehat sekiranya kurang kemasukan pesakit baru selepas waktu pejabat atau pesakit dalam wad yang sedia ada tidak menghadapi apa-apa masalah.
l Selesai tugasan on call pukul 8 pagi, kami akan terus menyambung tugas rutin di wad atau klinik seperti biasa sehinggalah tamat waktu pejabat pada hari itu dan tugasan on call akan diteruskan oleh kawan-kawan kami secara bergilir-gilir seperti yang telah ditetapkan. Ini bermakna, bagi yang on call, kami bekerja dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang keesokan harinya secara berterusan (minimum 33 jam).
Ini adalah senario biasa bagi kami sebagai seorang doktor dan kami tidak pernah mengeluh menjalankan tugas kami.
Oleh itu, kenyataan Menteri Kesihatan bahawa setiap doktor yang on call diperuntukkan masa berehat dalam tempoh tugasannya dan doktor terbabit berhak untuk memohon berehat sehari selepas menjalankan tugasnya adalah tidak tepat sama sekali.
Kepada seluruh rakyat Malaysia, cubalah memahami tugas kami ini dan janganlah hanya mengkritik sahaja.
Kita perlu bersyukur kerana Malaysia masih memiliki sistem kesihatan antara yang terbaik di dunia ini. Kepada semua doktor di negara ini, tahniah diucapkan kerana bukan semua orang sanggup dan layak menggalas tugas yang begitu berat tetapi mulia ini.
DR. KAM
Kuala Terengganu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment