Tawar insentif tarik doktor kita berkhidmat di negara sendiri
KOTA KINABALU 2 Mei – Kerajaan akan menawar insentif kepada golongan pakar dan doktor dari negara ini yang bekerja di luar negara dalam usaha memujuk mereka pulang dan berkhidmat di tanah air sendiri.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, insentif itu adalah wajar kerana negara masih lagi berdepan dengan masalah kekurangan pakar dan doktor.
“Bagi mengatasi kekurangan doktor, pengambilan tenaga pakar dari luar negara seperti India, Myanmar dan lain-lain negara terus lagi dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan seramai 236 lulusan bidang perubatan yang menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak pulang ke tanah air selepas menamatkan pengajian di luar negara.
Tenaga profesional itu sebaliknya berkhidmat di luar negara berikutan tawaran gajinya yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.
Keadaan itu menjejaskan perkhidmatan kesihatan negara sedangkan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk melatih doktor di luar negara iaitu hampir RM1 juta bagi setiap seorang doktor.
Rosnah berkata, golongan tersebut seharusnya mengutamakan keperluan rakyat di negara ini daripada berkhidmat untuk rakyat di luar negara.
Mengenai perkembangan influenza A (H1N1) yang kini menjadi fenomena sejagat, beliau berkata, kerajaan Malaysia melakukan pelbagai langkah pencegahan awal.
Antaranya kata beliau, dengan mengawal ketat di semua pintu-pintu masuk utama negara melalui alat-alat pengesan yang berteknologi tinggi.
“Rakyat tidak perlu bimbang dengan selesema babi atau sekarang dikenali sebagai influenza A (H1N1) kerana persiapan rapi sudah pun dilakukan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment