Friday, May 8, 2009

On call bukan kes terpencil=Utusan Malaysia=05/05/2009

On call bukan kes terpencil

SEJAK kebelakangan ini, saya mendapati banyak komen diberikan terhadap tugas on call seorang pegawai perubatan. Namun kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang memberi reaksi kepada isu tersebut baru-baru ini mengejutkan dan mengecewakan saya. Menurutnya, kes seseorang doktor bertugas on call 24 jam tanpa henti adalah perkara terpencil.
Tugasan on call 24 jam sehari dan kemudiannya menyambung kerja harian selama sembilan jam seterusnya adalah perkara biasa di kebanyakan hospital kerajaan. Oleh itu, ia bukanlah kes terpencil.
Tanggapan ini perlu dibetulkan. Ini juga menunjukkan seolah-olah pihak kementerian tidak pernah turun padang untuk menilai sendiri keadaan sebenar.
Biar saya jelaskan beberapa perkara. Saya sendiri adalah seorang pegawai perubatan yang telah berkhidmat hampir enam tahun di hospital kerajaan.
Antaranya saya pernah bertugas di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, dan sekarang sedang melanjutkan pengajian di bidang sarjana perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Saya pernah bertugas di Jabatan Perubatan, Jabatan Pediatrik (Kanak-Kanak) dan sekarang di Jabatan Perubatan dalam Bidang Sarjana Perubatan (Internal Medicine).
Sepanjang perkhidmatan ini, setahu saya, saya dikehendaki menjalani tugasan on call 24 jam dan menyambung semula tugasan keesokan harinya seperti biasa sekiranya ia jatuh pada hari bekerja.
Tidak pernah pula saya diberitahu yang saya boleh mengambil off pada keesokan harinya. Alasan yang selalu diberikan ialah kekurangan doktor.
Sesebuah hospital besar kerajaan atau hospital universiti mempunyai banyak jabatan atau kepakaran, umumnya Jabatan Perubatan, Jabatan Surgeri, Jabatan Bius, Jabatan Pediatrik, Jabatan Perbidanan (OnG), Jabatan Ortopedik dan Jabatan Kecemasan.
Bagi pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Perubatan, Jabatan Surgeri, Jabatan Ortopedik dan Jabatan Pediatrik serta Jabatan Perbidanan, mereka dikehendaki bertugas seperti mana aduan seorang doktor baru-baru ini (bekerja tanpa henti melebihi 30 jam termasuk on call dan tugas biasa).
Isu on call tidak timbul bagi mereka yang bertugas di Jabatan Trauma dan Kecemasan kerana mereka bertugas mengikut syif, iaitu lapan jam pada satu satu masa.
Bagi pegawai perubatan di jabatan-jabatan lain, tugasan on call tidak memerlukan mereka berlari ke sana ke mari ketika bertugas, maka mereka dibenarkan menjalankan on call dari rumah sahaja.
Maka diharap pembaca jelas dengan situasi di atas. Bayaran on call adalah sama iaitu sebanyak RM150 untuk sekali on call, tidak kira jabatan dan beban tugas yang dijalankan.
Jika Dr. A, seorang pegawai perubatan Jabatan Perubatan dan Dr. B, pegawai perubatan Jabatan Oftalmologi (Mata) bertugas pada hari tersebut, bayaran on call mereka tetap sama.
Isunya kini, adakah ia perkara terpencil? Jawabnya, tidak! Isu tidak tidur satu malam dan kelihatan keletihan pada keesokkan harinya adalah perkara biasa. Tetapi kebanyakan kami tidak menjadikannya satu isu kerana kami tahu ia adalah satu tanggungjawab.
Tetapi apabila ia dilabelkan sebagai satu perkara terpencil, bayangkanlah perasaan kecewa dan marah yang bakal timbul selepas ini.
Namun, ingin saya ketengahkan isu yang paling penting di sini. Adakah anda sebagai seorang pesakit yakin menerima rawatan daripada seorang doktor yang telah kepenatan bekerja semalaman?
Saya sendiri tidak tidur malam ketika on call di PPUM. Di PPUM sendiri, kami akan menjaga hampir lapan buah wad di dua menara berlainan ketika on call.
Bukan sahaja kami perlu berjaga tetapi kami juga perlu mempunyai stamina yang kuat untuk berlari ke sana ke mari.
Tanya sahaja mana-mana pegawai perubatan atau surgeri di PPUM atau HKL sendiri. Perkara yang sama berlaku di HTAR dan Hospital Selayang serta Hospital Serdang. Tak tahulah pula keadaannya di Pulau Pinang atau Johor Bahru.
Oleh itu, saya amat berharap pihak kementerian turun padang dan mengikuti kami bertugas on call untuk mengetahui keadaan sebenar.
Diharapkan juga pihak kementerian dapat mengeluarkan satu surat pekeliling bagi menangani isu ini dengan jelas.

DOKTOR TERPENCIL
Kuala Lumpur

No comments: